Penjelasan dan Keluhan Peniaga Telekomunikasi Secara Kecil-kecilan

Penjelasan dan keluhan peniaga telekomunikasi kecil-kecilan mengenai keuntungan sebenar perniagaan topup telefon dan GST. Ramai yang bising mengenai kenaikan harga topup yang dicaj GST iaitu sebanyak 6%. Untuk makluman, kami (para peniaga) telah diarahkan oleh pihak telko seperti celcom, maxis, digi, umobile dan lain-lain supaya mengenakan caj 6% terhadap harga nilai tambah topup terbaru kepada pelanggan seperti surat yang disertakan bersama dibawah.

Harga Topup Telefon Terkini
Harga Topup Prepaid Naik

Harga Baru Prepaid Topup Celcom, Maxis, Digi, Umobile

Para peniaga seperti kami telah dicaj 6% untuk GST semasa membeli topup tersebut daripada syarikat telekomunikasi. Jika sebelum GST, keuntungan menjual topup telefon adalah antara 25sen hingga 35sen sahaja untuk topup yang berharga RM10 dan selepas dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan juga kami mendapat keuntungan yang sama. Tetapi, kami terpaksa mengeluarkan modal untuk menjual topup lebih tinggi berpunca syarikat telekomunikasi mengenakan GST 6% kepada kami, sedangkan keuntungan adalah sama seperti sebelumnya. 

Sebelum GST dikuatkuasakan, modal yang kami keluarkan untuk topup RM10 ialah antara RM9.65 hingga RM9.75 tetapi kini ianya meningkat kepada RM10.25 hingga RM10.35. Bagaimana kami mahu menjual topup dengan harga RM10 sedangkan modal untuk mendapatkan topup dari pembekal sudah tinggi? Syarikat telekomunikasi menyatakan kerajaan telah mengarahkan mereka supaya mengenakan GST 6% keatas para peniaga dan pelanggan. Kini dilihat kerajaan menafikannya arahan tersebut, bak kata pepatah melayu, lempar batu sembunyi tangan. Kami sebagai para peniaga juga tidak bersetuju dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dilaksanakan. Sudahlah terpaksa mengeluarkan modal yang banyak malah terpaksa pula menghantar resit belian dan jualan paling kurang tiga bulan sekali kepada pihak kastam. Jika tidak berbuat demikian dalam tempoh yang diberikan, kami dimaklumkan didenda. 

Kami peniaga kecil-kecilan, jualan tidak sampai RM500 ribu namun terpaksa mendaftar GST, jika tidak mendaftar dilarang mengambil kembali GST daripada pelanggan sedangkan kami dikenakan GST. Kini kami bagaikan pengutip cukai tidak bergaji bagi pihak kerajaan. Bertambah beban. Harap kalian semua dapat menilai sendiri dan berfikir secara rasional. Jika hendak marah juga, marahlah pada yang berkenaan bukan pada peniaga telekumunikasi kecil kecilan seperti kami. Terima Kasih kerana sudi meluangkan sedikit masa bagi mendengar penjelasan dan keluhan para peniaga telekomunikasi terhadap Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang telah dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan.

0 Response to "Penjelasan dan Keluhan Peniaga Telekomunikasi Secara Kecil-kecilan"

Post a Comment